PENGERTIAN
Ilmu faraidh ialah ilmu tentang pembahagian harta pusaka kepada setiap ahli waris yang berhak dengan kaedah-kaedah pengiraan yang tertentu.
Perkataan faraidh ( ) diambil daripada kalimah bahasa arab. Ia merupakan jama’ kata nama berbilang ) daripada perkataan faridhah . Manakala faridhah diambil daripada kata dasarnya iaitu fardh.
Makna fardh dapat dibahagikan kepada 2 iaitu makna dari segi bahasa dan makna dari segi istilah Syara’:
1. Makna fardh dari segi bahasa ialah takdir. Firman Allah Ta’ala :
“…maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu…” (Surah Al-Baqarah, ayat 237)
Selain daripada itu, fardh juga mempunyai beberapa makna yang lain. Antara maknanya ialah bahagian, wajib dan halal.
2. Manakala makna fardh dari segi istilah ialah bahagian yang ditentukan oleh Syara’ kepada ahli waris
Sejarah
Sejarah pewarisan harta pusaka dapat dibahagikan kepada 2 zaman iaitu sebelum dan selepas kedatangan Islam.
1. Sebelum kedatangan Islam
Ada 3 faktor yang membolehkan seseorang itu mewarisi harta pusaka ketika zaman Jahiliyah iaitu :-
• Lelaki dewasa (الرِجَال )
Wanita dan kanak-kanak tidak dapat mewarisi harta pusaka kerana mereka merupakan kaum yang lemah. Mereka tidak mampu untuk melindungi suku kaum mereka daripada serangan musuh yang mana ketika itu masyarakat Arab sering kali berperang sesama suku kaum.
Bangsa Arab ketika itu menyatakan, "Adakah patut kami memberikan harta kami (harta warisan) kepada orang yang tidak tahu menunggang kuda dan tidak pandai menetak dengan pedang?”
• Sumpah setia ( الحَلْف)
Ikatan janji antara 2 orang lelaki yang tidak mempunyai hubungan kerabat. Mereka membuat perjanjian dengan cara bersumpah seperti melafazkan ‘darahku darahmu’, ‘kamu mewarisiku dan aku mewarisimu’, ‘kamu menolongku dan aku menolongmu’ dan sebagainya. Apabila kedua-duanya bersetuju maka mereka saling mewarisi antara satu sama lain.
• Anak angkat ( التَبَنِّي)
Golongan lelaki pada ketika itu boleh mengambil anak orang lain sebagai anak angkat mereka. Mereka menasabkan anak itu kepada mereka sendiri bukan kepada bapanya yang sebenar. Perbuatan ini membolehkan mereka dan anak angkat mereka saling mempusakai antara satu sama lain.
Pada permulaan Islam, sistem pengambilan anak angkat masih diteruskan. Hal ini terbukti apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah mengambil Zaid bin Haritsah sebagai anak angkatnya dan dinamakannya Zaid bin Muhammad
Amalan tersebut tidak berkekalan apabila Allah Ta’ala menegahnya. Mafhum firman-Nya :
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” ( Surah Al-Ahzaab, ayat 40 )
2. Selepas kedatangan Islam (ada 4 tahap)
Hukum-hakam agama Islam didatangkan bagi umat manusia dengan cara berperingkat-peringkat bertujuan supaya mereka tidak merasai keberatan untuk melaksanakan perubahan hukum-hukum tersebut.
Hukum pewarisan juga termasuk dalam kategori tersebut apabila terdapat 4 tahap pelaksanaan hukum tersebut dari permulaan Islam sehinggalah Islam menjadi kuat.
a) Tahap pertama
Pada permulaan Islam, pewarisan dilaksanakan dengan cara sumpah setia antara 2 sahabat. Mereka bersumpah akan saling tolong menolong antara satu sama lain ketika mereka hidup dan saling mewarisi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Mafhum firman Allah Ta’ala :
“…dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An-Nisaa’ ayat 33)
Kemudian hukum tersebut dihapuskan dengan ayat :
“... Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Anfaal, ayat 75)
b) Tahap ke - 2
Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, hukum pewarisan dilaksanakan melalui persaudaraan antara 2 sahabat daripada kaum Ansar dan Muhajirin. Manakala jika mereka yang tidak berhijrah, mereka tidak mempunyai hak perwarisan walaupun mereka terdiri daripada waris yang hampir dan beriman. Allah Ta’ala berfirman, mafhumnya :
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah…” (Surah Al-Anfaal, ayat 72)
Kemudian hukum tersebut dinasakhkan juga dengan ayat :
“...Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Anfaal, ayat 75)
c) Tahap ke - 3
Kemudian hukum pada fasa kedua dihentikan dan digantikan dengan wasiat wajibah bagi kedua ibu bapa dan kaum kerabat. Mafhum firman Allah Ta’ala :
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)
d) Tahap ke - 4
Apabila turunnya ayat faraidh, hukum di atas dihapuskan. Sistem pusaka Islam menggantikannya dengan menentukan bahagian-bahagian ahli waris secara terperinci.
Tidak siapa pun dibenarkan mengubah ketentuan tersebut kerana ia merupakan hukum daripada Allah Ta’ala.
Sahabat yang mahir ilmu faraidh
Sahabat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang paling bijak dalam ilmu faraidh ialah Zaid bin Tsabit. Ini terbukti dengan jelas apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sendiri yang memujinya kerana dia terlebih tepat dan cepat memberi jawapan berbanding dengan para sahabat yang lain.
عن أبى قِلابَةَ عن أَنَس قال : قَالَ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهِ عليهِ و سَلََّم ( أَفْرَضُكُمْ زَيْدُ بنُ ثَابِت ) أخرجه أحمد
Daripada Abi Qilabah daripada Anas “Yang terlebih pandai ilmu faraidh daripada kamu ialah Zaid bin Tsabit.” (Riwayat Imam Ahmad)
Hukum Faraidh
Terdapat 2 pembahagian hukum yang berkaitan dengan faraidh iaitu : -
1. Hukum pelaksanaan faraidh.
Wajib bagi setiap ahli waris mengaplikasikan hukum faraidh jika ada pewaris yang meninggal dunia.
Apabila ahli waris menjalankan hukum faraidh maka sesungguhnya mereka dijanjikan syurga oleh Allah Ta’ala.
Manakala bagi mereka yang tidak mahu mengikut hukum Allah Ta’ala dan menentukan pembahagian mengikut akal dan hawa nafsu mereka maka nerakalah tempat mereka di akhirat kelak. Itulah balasan Allah Ta’ala bagi mereka yang ingkar dengan mafhum firman-Nya:-
“Segala hukum yang tersebut (anak yatim, faraidh dan wasiat) adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisaa’, ayat 13 dan 14)
2. Hukum mempelajari ilmu faraidh dan membuat pembahagian kepada ahli waris.
Fardhu kifayah bagi umat Islam. Tidak wajib bagi seluruh umat Islam mempelajarinya. Apabila telah ada seseorang yang menunaikannya maka hukumnya bertukar menjadi sunat bagi yang lain.
Sumber Hukum
1. Al-Quran
Hampir kesemua hukum-hukum pembahagian faraidh terangkum di dalam surah An-Nisaa’. Mafhum firman Allah Ta’ala :
" Allah mensyariatkan (mewajibkan) bagimu tentang (pembagian warisan untuk) anak-anakmu. (Iaitu), bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. Dan jika anak itu semuanya perempuan yang jumlahnya lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Jika dia (anak perempuan) itu seorang saja, maka dia memperoleh setengah (dari harta yang ditinggalkannya). Dan untuk dua orang ibu bapa, bahagian masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika dia (yang meninggal) mempunyai anak. Jika dia (yang meninggal) tidak mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga. Jika dia (yang meninggal) mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas) setelah (dipenuhi) wasiat yang dibuatnya atau (dan setelah dibayar) hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih banyak manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisaa' – ayat 11)
"Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika mereka (isteri-isterimu) itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya setelah (dipenuhi) wasiat yang mereka buat atau (dan setelah dibayar) hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan setelah (dipenuhi) wasiat yang kamu buat atau (dan setelah dibayar) hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahu pun perempuan, yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersama-sama dalam bahagian yang sepertiga itu, setelah (dipenuhi wasiat) yang dibuat olehnya atau (dan setelah dibayar) hutangnya dengan tidak menyusahkan (kepada ahli waris). Demikianlah ketentuan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, Maha Penyantun." (Surah an-Nisaa' – ayat 12)
"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah an-Nisaa' – ayat 176)
2. Hadits
Antara hadis-hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam yang berkaitan dengan hukum faraidh ialah : -
عَن ابنِ عبّاس قال : قالَ رسولُ اللهِ صَلَّى الله عليهِ و سَلم : (أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ ) متفق عليه.
Daripada Ibnu ‘Abbas berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam “ Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”
عَن ابن مَسْعُود فى بِنْتٍ وَ بِنْتِ ابْنٍ وَ أُخْتٍ ( فَقَضَى النَّبِى صلى الله عليه و سلّم لِلابْنةِ النِصْفُ ، وَ لابْنَةِ الابْنِ السُدُسُ تَكْمِلَةَ الثُلُثَيْنِ وَ مَا بَقِىَ فَلِلأُخْتِ ) رواه البخارى
Daripada Ibnu Mas’ud pada menyatakan hukum anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) “ Maka telah menghukumkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
عَن أُسَامَةِ بن زَيْد أَنَّ النَّبِىَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ و سَلَّمَ قَالَ (لا يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَ لا يَرِثُ الكَافِرُ المُسْلِمَ ) متفق عليه.
Daripada Usamah bin Zaid sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda : ” Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.”
عَن ابن بُرَيْدَةٍ عَن ابِيهِ : ( أَنَّ النبىَ صلى الله عليه و سلّم جَعَلَ لِلْجَدَّةِ السُّدُسَ ، إِذَا لَمْ يَكُنْ دُونَهَا أُمّ ) رواه أبو داود و النسائى.
Daripada Ibnu Buraidah daripada ayahnya : “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie)
3. Pandangan sahabat
Perkara ini berlaku apabila tiada keterangan dalam Al-Quran dan Hadits berkaitan sesetengah masalah pengiraan seperti :-
a) Masalah Al-Gharrawain ( الغرويتين )
b) Masalah Al-Akdariah ( الأكدرية )
c) Masalah Al-Musytarakah ( المشتركة )
d) Masalah Datuk bersama Saudara ( الجد مع الإخوة )
KEPENTINGAN MEMPELAJARI ILMU FARAIDH
1. Saranan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam supaya mempelajarinya
قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم ( تَعَلَّمُوا القُرْآنَ وَ عَلِّمُوهُ النَّاسَ و تَعَلَّمُوا الفَرَائِضَ وَ عَلِّمُوهَا فَإِنِّي امْرَؤٌ مَقْبُوضٌ وَ العِلْمُ مَرْفُوعٌ وَ يُوشِكُ أَنْ يَخْتَلِفَ اثْنَانِ في الفَرِيضَةِ وَ المَسْأَلَةِ فَلا يَجِدَانِ أَحَدًا يُخْبِرُهُمَا ) رواه أحمد بن حنبل
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda, "Pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia dan pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya aku manusia biasa yang akan meninggal dunia juga, dan ilmu akan hilang (dengan matinya yang mempunyai ilmu tersebut), sesungguhnya aku sangat resah dan takut jika nantinya ada orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan dan permasalahan lainnya, akan tetapi mereka tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan dan menyelesaikan masalah mereka." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
2. Ilmu yang mula-mula akan hilang dalam ingatan manusia
عَن أبي هريرة قال : قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم قَالَ ( تَعَلَّمُوا الفَرَائِضَ وَ عَلِّمُوهَا فإِنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ وَ هُوَ يُنْسَى وَ هُوَ أَوَّلُ شَىْءٍ يُنْزَعُ مِنْ أُمَّتِي ) رواه ابن ماجه و دارالقطني
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda, "Pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni)
3. Saranan daripada sahabat
Umar bin Khattab telah berkata, "Pelajarilah ilmu faraidh, kerana ia sesungguhnya termasuk bahagian dari agama kalian." Kemudian Amirul Mu'minin berkata lagi, "Jika kalian berbicara, bicaralah dengan ilmu faraidh, dan jika kalian bermain-main, bermain-mainlah dengan satu lemparan." Kemudian Amirul Mu'minin berkata kembali, "Pelajarilah ilmu faraidh, ilmu nahu, dan ilmu hadis sebagaimana kalian mempelajari Al-Qur’an."
4. Kesungguhan ulama’
Disebabkan ilmu faraidh amat penting, para ulama’ banyak menghabiskan masa mereka dalam mempelajarinya dan mengajarinya.
Malah ada juga yang mencipta kaedah-kaedah baru yang mudah untuk mempelajari seperti kaedah jadual segitiga oleh Syeikh Nabil Kamaluddin, kaedah syair Arjuzah dan Ar-Rahabiyah, kaedah Syajaratul Mirats oleh Ustaz Imam Malik Nasirin dan sebagainya.
Pada zaman moden kini, pelbagai perisian program pengiraan faraidh dibuat dengan kerjasama ‘ulama faraidh dan pakar perisian komputer. Ini bertujuan mempercepatkan pengiraan bagi menentukan bahagian ahli waris.